27 October 2009

Chicken Fritters ~cat food ~





Kakcikseroja bercuti ke Kuching
Pergi berempat bukannya bertiga
Makanan ini dibuat untuk kucing
Tuan kucing pun boleh makan juga



Sudah lama umie tidak letak sebarang resepi kerana dapur umie memang 'tidak berasap' sekarang ini. Kedai makan dan warung yang rajin membantu umie untuk sediakan pelbagai juadah, tinggal pilih sahaja apa yang ingin dimakan :p hehehehehehe

Berapa hari yang lalu umie tiba-tiba rajin untuk buatkan makanan bagi kucing-kucing umie. Itu disebabkan terdapatnya ayam yang sudah agak lama bertapa di dalam freezer. Sayang juga jika ayam itu nanti menjadi habuan cik Tong Sam Pah :D jadi umie pun fikirlah apa yang sesuai untuk dijadikan hidangan anak-anak bulu umie tu.

Akhirnya jadilah chicken fritters ini. Sebenarnya kita pun boleh makan sebab bahan dan cara membuatnya seperti makanan yang kita makan. Cuma bezanya, bila niat dibuat sebagai 'makanan kucing' maka hati jadi 'tidak tergamak' untuk memakannya (tapi kakak makan juga hehehehe)

Sesiapa yang ada anak bulu dan nak hidangkan sesuatu yang berbeza buat mereka, bolehlah cuba membuatnya ya...

Bahan

100 gram isi ayam (yang telah kukus atau rebus)
1 biji telor ayam
1 sudu makan tepung gandum
butter (untuk masak)
mayonis untuk hisan

Cara

1. Hancur atau carik-carik halus isi ayam.
2. Masukkan telor kedalam mangkuk isi ayam tadi dan kacau rata.
3. Masukkan tepung dan gaulkan semuanya.
4. Panaskan butter dalam kuali leper dan letakkan adunan tadi (ikut besar yang diinginkan ) dan tekan leper.
5. Balikkan adunan hingga kedua-dua bahagiannya masak - garing.
6. Hiaskan dengan mayonis semasa menghidang.

* umie gunakan acuan berbentuk kucing dan ikan (memang beli khas untuk masak makanan anak-anak bulu umie)

** masakan ini tidak letak sebarang garam atau perasa kerana tidak sesuai untuk anak-anak bulu. Namun jika kita ingin buat untuk diri kita juga, bolehlah ditambahkan garam dan perasa ikut suka :)


19 October 2009

Please Vote For Baby ;) 7E ~Slurpeelicious Moments~


Kak Intan berjoging tiga pusingan
Masa berjoging ternampak Hanum
Baby pun nak masuk pertandingan
Bersama Mahzuz Slurpee diminum

7Eleven mengadakan satu pertandingan gambar creative bersama minuman slurpee. Baby ingin sangat masuk pertandingan itu dan gambar di aas merupakan gambar yang Baby ambil sendiri guna auto. Masa itu umie di dapur dan tidak dapat tolong ambilkan gambar Baby dengan Slurpeenya.

Harap sesiapa yang masuk ke blog umie dapatlah pergi ke sini dan vote Baby. Tolong panjang-panjangkan tentang pertandingan yang Baby ikuti ini ya... Umie tidak baca syarat pertandingannya bagaimana tapi semasa umie cuba VOTE gambar Baby, umie kena masukkan alamat email dan submit. Kemudian perlu verify melalui email yang dihantar oleh Nuffnang. Itu sahaja yang perlu dibuat. Setiap email yang digunakan untuk vote boleh submit 5 kali sehari. Boleh guna sebanyak mana email yang ada. Tarikh untuk VOTE ialah dari 19 Oktober-25 Oktober. Jangan lupa ya vote untuk Baby ;)

* Kalau dah peminat kucing, minum slurpee pun nak kongsi dengan kucing juga:P Si Mahzuz pulak, bukan main beria nak minum slurpee tu :)

* Terima Kasih vote untuk Baby :)

12 October 2009

Envy's Favourite Place



Kak Gee sentiasa kelihatan riang
Dengan keluarga bercuti di Maran
Envy suka berehat di waktu siang
Drum menjadi tempat kegemaran



Envy antara kucing umie yang baik perangainya. Envy tidak banyak kerenah dan tidak memberi sebarang masalah. Envy pandai menjaga diri dan membuat halnya sendiri. Seperti kucing-kucing lain, Envy juga suka berehat di waktu siang. Malah masa rehatnya dihabiskan dengan tidur yang diulit mimpi-mimpi indah :p

Setiap orang pasti ada tempat kegemaran untuk berehat atau duduk. Begitu juga dengan Envy, dia ada tempat rehatnya sendiri iaitu di dalam drum ayah hehehehehe. Envy rasa selesa berehat dan tidur di dalam drum ayah. Lubang drum itu dah jadi seperti kamar tidur Envy hehehehehe :D


Lihatlah bagaimana Envy tidur di dalam drum - terlentang dengan kakinya ke atas, namun begitu tidurnya amat lena sekali. Bila diusik pun dia tidak mahu bangun, maka umie abadikan gambar Envy ini untuk kenangan kerana sebelum ini tidak terfikir untuk rakam gambar Envy tidur di sini :p.

9 October 2009

Sebentar bersama Gibbon

Baby, Adik dan Aliyya (Kawan Baby) bersama Gibbon

Reben daripada perkataan ribbon
Ada pelbagai warna macam pelangi
Namanya Kelawat ataupun Gibbon
Haiwan comel ini haiwan dilindungi


Adik memeluk Gibbon yang kelihatan manja


Semasa ke Mines, dalam perjalanan ke tempat letak kereta tiba-tiba kami ditegur oleh seorang pekerja jika mahu mengambil gambar dengan haiwan comel ini. Belum lagi tawar-menawar, haiwan ini telah dihulur kepada Adik. Haiwan yang comel dan berbulu lembut ini terus sahaja memaut Adik dan memeluk dengan erat.

Bila ditanya berapa harganya, untuk satu orang memegang haiwan ini harganya RM5. Jika ada kamera sendiri, boleh ambil seberapa banyak gambar yang disuka. Jika perlukan khidmat mereka, bayaran RM12 dikenakan untuk berfoto dan juga diberikan sekeping foto untuk simpanan. Kebetulan umie bawa kamera maka umiepun ambillah gambar anak-anak umie dengan haiwan ini.


Kakak seronok dipeluk oleh Gibbon

Kakak memang suka sangat dengan haiwan, apa lagi haiwan peliharaan. Pada mulanya Kakak tidak mahu memegang haiwan itu dengan alasan 'sayangkan duit RM5' hehehehehe. Umie suruh juga Kakak memegangnya tetapi umie telah minta pekerja itu membenarkan tanpa sebarang bayaran. Mentelah pada masa itu hujan dan tiada siapa yang berminat untuk memegang atau bergambar dengan haiwan tersebut.

Umie pegang bulu haiwan itu - begitu halus dan lembut sekali. Namun apa yang menyentuh hati ialah rupa haiwan itu yang kelihatan sayu sekali. Hati tambah tersentuh bila melihatkan pelukan erat seperti tidak mahu dilepaskan... Kalaulah dapat simpan seekor haiwan ini, kan baik sekali! Jika ada sesiapa yang berminat untuk memelihara haiwan ini, harus ingat bahawa ia merupakan jenis haiwan yang dilindungi, maka harus mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu...

1 October 2009

Gambar Hari Raya Pertama



Kaswari dan SisLin beraya sama
Cik Mat hidangkan kuih bersira
Gambar pada hari raya pertama
Suasana meriah riang gembira

Umie bersama anak-anak

Hari raya pertama kami sempat merakamkan gambar keluarga sebelum anak-anak ke rumah Opah mereka. Selepas beraya bersama Opah mereka, kami berangkat menuju ke rumah bapa saudara ayah yang satu-satunya turut beraya di 'ibu kota'. Pulang dari rumah bapa saudara ayah kami menuju ke rumah kawan ayah - Pyan Habib kerana Pak Pyan mahu ayah ke rumahnya juga.


Bersama Pak Pyan & isteri

Pertama kali 'tidak beraya' bersama 'ahli keluarga besar' di kampung halaman ternyata memberi pengalaman baru. Kebetulan 'adik angkat' umie beraya bersama kami. Maka suasana tetap meriah dengan persiapan rendang, nasi impit, lodeh, pulut kuning, sambal udang dan beberapa lagi juadah yang dihidangkan membuatkan kami tidak rasa kekurangan sangat pada hari pertama lebaran tahun ini :)


Bersama adik angkat umie

Anak-anak bersama auntie Zurin mereka

Pada hari raya tahun ini, kami berhari-raya dengan kucing-kucing kami dan mereka semua berpakaian warna sendondon. Malangnya kami tidak dapat bergambar bersama mereka dalam satu masa kerana masing-masing membuat hal sendiri. Envy dapat kami rakamkan gambarnya semasa dia duduk berehat di atas kereta ayah. Kemudian kakak datang untuk bergambar bersama Envy dengan gayanya yang tersendiri :D

Envy dengan pakaian hari rayanya


Selain daripada Envy, Mahzuz juga dapat bergambar bersama kami kerana Mahzuz hanya duduk di dalam rumah. Dalam gambar di bawah ini, Mahzuz duduk sebelah Adik tetapi rupa Mahzuz kurang jelas kerana warna bulunya yang hitam dan balikan daripada cermin di sebelahnya.


Nampak Mahzuz tak?

Anak-anak umie :)

28 September 2009

Tinggal kenangan

Hari raya hari kita bersuka
Kuih muih jadikan hidangan
Anak kucing dijaga seketika
Kini hanya dalam kenangan


Sebelum hari raya, kawan Baby minta dijagakan anak kucing yang baru ditemui (sekitar usia seminggu) Pada mulanya umie agak keberatan kerana bukan mudah mengasuh anak kucing sekecil itu yang belum tahu menjilat susu. Oleh kerana kami beraya di sini dan kasihan melihatkan anak kucing itu, maka umie telah bersetuju.


Dia kami susukan dengan botol kecil yang dibeli di pet shop tetapi mulutnya yang terlalu kecil itu tidak dapat menyusu dari botol itu. Untuk menyusukannya umie terpaksa menggunakan syringe untuk memberikan susu, itupun dia mengisap jari sambil susu yang dipicit ke dalam mulutnya. Saat itu memang menyeronokkan...

Anak kucing yang belum diberi nama itu kami asuh dan bawa beraya bersama-sama. Semasa beraya di rumah kawan umie di Melaka, kawan umie telah menawarkan diri supaya anak kucing itu ditinggalkan bersamanya kerana kucingnya baru beranak dan boleh menyusukan anak kucing ini. Umie telah menghubungi kawan baby dan dia juga bersetuju.

Malang sekali selepas sehari-semalam ditinggalkan, kawan umie memberitahu anak kucing itu dalam keadaan tenat kerana dia suka merayap dan masuk ke dalam semak. Terasa sedih di hati menerima berita sedih dari kawan umie kerana selama beberapa hari diasuh, anak kucing itu kelihatan sihat dan aktif (memang suka merayap - dah pandai memanjat keluar dari kotak/bakul yang ditempatkannya. )


Terdetik kekesalan di dalam hati kerana menerima pelawan kawan umie dan meninggalkan anak kucing itu dengannya. Kemungkinan anak kucing itu masih hidup sekiranya dia kami asuh... Mungkin sudah itu takdirnya, dapat menikmati kehidupan ini hanya untuk seketika. Namun rasa sedih tetap menyelubingi diri...

Apa nak kata, sudah ajalnya...

26 September 2009

Selamat Ulang Tahun Ke-7 Buat Ulfat

Jamu tetamu dengan mee hun
Dihidangkan juga roti ikan tuna
Diucapkan selamat ulang tahun
Semoga besar jadi anak berguna


Seorang lagi anak saudara umie menyambut ulang tahun bersamaan suasana menyambut hari raya. Anak saudara umie ini tidak banyak kerenah. Umie buatkan kek dan deco simple sahaja untuknya dan dia menerimanya tanpa banyak bicara :D
Kek Coklat di atas belum sempat anak saudara umie 'memotong dan bergambar' dengannya, telah pun dipotong dan dijamu oleh sepupu-sepupunya yang lain (tidak perasan itu kek hari jadi untuknya). Memandangkan masih ada satu bekas lebih dan ada sedikit lagi icing, umie telah deco kan se-ala kadar untuknya bergambar.
Ternyata dia tidak kisah... dia bergambar seperti yang diarahkan... habis cerita... hehehehehe :D

24 September 2009

Happy Birthday To Abrar

Pergi ke pasar membeli ikan
Usah berlengah balik segera
Selamat hari lahir diucapkan
Moga hidup aman sejahtera

Anak saudara umie, Abrar atau Ifran menyambut ulang tahunnya yang ke-6. Dia inginkan kek yang besar dan lain daripada kek biasa. Memandangkan dia seorang budak lelaki yang aktif dan peminat lumba kereta dan seangkatan dengannya, maka umie buatkan kek ini untuknya.

Kebetulan pula hari lahirnya jatuh pada musim hari raya, walaupun tidak mengundang sesiapa untuk meraikan tetapi pada masa dia menyambutnya, suasana begitu meriah kerana kebetulan saudara-mara datang berkunjung.

Happy Birthday Abrar @ Irfan semoga membesar sebagai anak yang soleh...


23 September 2009

Kunjungan Raya * Terima Kasih *

Gambar umie ambil dari blog kasawari kerana umie lupa untuk ambil gambar ;)

Kasawari beli susu tin cap junjung
Buat teh tarik untuk minuman pagi
Terima kasih kerana berkungjung
Sekira sudi lain kali datanglah lagi

Pada hari raya ke-4 umie telah menerima kunjungan raya oleh rakan blogger iaitu Kasawari yang datang bersama isteri dan dua orang sepupu mereka. Terima kasih diucapkan kerana sudi berkunjung ke teratak kami.

Kedatangan mereka tidak dapat dijamu dengan hidangan yang istimewa, sekadar hidangan ala-kampung yang biasa kerana kebetulan pada hari itu umie berada di Nilai. Walau apapun umie tetap rasa gembira kerana ada yang sudi menziarah kami di hari raya ini.

Kepada Kawasari dan Linda, jangan serik untuk datang ke rumah kami lagi ya... Buat kawan-kawan yang lain, dipersilakan untuk berkunjung ke sini jika sudi :)


22 September 2009

Ceria Berhari-Raya


Asah pisau kerana dah tumpul
Tidak lupa parang yang dibawa
Hari Raya semua berkumpul
Suasana ria bergelak ketawa

Sambutan hari raya pertama kami di Selangor dan kuala Lumpur, selepas itu kami semua beraya di Johor (Segamat), Melaka (beberapa daerah) dan Negeri Sembilan (Nilai, Kuala Pilah dan Port Dickson). Anak-anak kelihatan gembira berhari raya begitu walaupun agak penat dalam perjalanan dari satu tempat ke satu tempat.

Hari raya inilah merupakan hari yang dapat menemukan sanak-saudara yang jarang berjumpa. Suasana riuh rendah dengan pelbagai cerita dan gelak ketawa sudah menjadi lumrah bagi keluarga kami. Begitu juga dengan anak-anak, ada sahaja kegiatan mereka untuk menimbulkan keceriaan apabila berjumpa.

Semoga suasana akan terus gembira dan ceria buat kita semua :)